Isnin, 12 Mac 2012

Lubuk Jihad Akan Bebas !



'Ceramah Perdana Bersamamu Palestine'
Faiz teringat akan poster yang dibaca sebentar tadi. Dia bermonolog sendiri.
"Perlu ke aku datang ceramah tu?Macam membazir je..Bukan boleh tolong Palestin pun.."
Hilmi yang dari tadi memerhatikan gelagat sahabat karibnya itu, tersenyum seolah-olah memahami konflik dalaman yang dihadapi oleh Faiz.
"Assalamualaikum Faiz, termenung jauh nampak,"tegur Hilmi.
Faiz yang sedari tadi bermonolog sendiri terkejut dengan teguran Hilmi walaupun Hilmi sekadar memberi salam.
"Ish, kau Hilmi. Aku ingat bidadari manalah yang tegur aku tadi",gurau Faiz dalam nada serius.
"Kalau bidadari, takde nya dia nak tegur kau, Faiz. Hehe". Belakang Hilmi ditepuk lalu mematikan perbualan dua sahabat tadi.
"Barangkali Faiz sedang mengalami masalah",getus hati Hilmi setelah melihat rakannya tidak seceria hari-hari sebelumnya.
Hilmi kelihatan tidak berputus asa meskipun sahabat karibnya melayan dia secara endah tak endah. Bagi Hilmi, jika sahabatnya bersedih dan mempunyai masalah, dia turut merasa kesedihannya. Namun Hilmi masih tertanya-tanya, apakah yang mengganggu Faiz sebentar tadi? Dia nekad untuk mengorek segalanya apabila mereka pulang ke kolej kediaman malam nanti. Bagi Hilmi, sahabatnya Faiz memerlukan teman untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di hati.
"Aku tak fahamlah dengan masyarakat kita ni Hilmi, mereka ingat dengan  mengadakan ceramah-ceramah mengutuk perbuatan Zionis terhadap Palestin tu, dapat merubah apa-apa? Membazir wang je menganjurkan ceramah. Apa orang cakap? Buang karen jek la..."
"Astaghfirullahalazim...Faiz, ceramah tu dibuat untuk menyedarkan dan membangkitkan kembali semangat umat Islam di Malaysia ni. Istilah kamu gunakan iaitu mengutuk tu salah sama sekali. Kita menganjurkan bukan untuk mengutuk sahaja malahan kita anjurkan untuk sama-sama mengutip derma bagi membantu rakyat Palestine. Semua perbuatan ada tujuan yang baik, sahabat".
" Hmmm..yeke??apa yang aku nampak, mereka seolah-olah memperjuangkan sesuatu yang tiada hujung pangkal," balas Faiz.
" Kamu pernah ikut ke ceramah ni Faiz, hingga kamu mengatakan ianya tiada hujung pangkal?", Hilmi bertanya dalam nada sinis.
Faiz terdiam kerana hakikatnya, dia memang tidak pernah ikuti mana-mana ceramah yang berkaitan dengan Palestin. Dia tak mahu sebenarnya kerana dia tahu dia akan turut sama menangis melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin di sana. Dia egois kerana marah dengan pemimpin-pemimpin Islam dunia yang melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa. Tapi, adakah dia sudah berjuang mempertahankan Palestin?
Lamunan panjang Faiz terhenti tatkala dia diajukan permintaan yang sukar untuk dia penuhi oleh sahabat karibnya, Hilmi.
"Barulah aku faham kenapa Faiz sangat-sangat tidak keruan semalam. Rupa-rupanya berkenaan Palestin", getus hati kecil Hilmi.
Dia seperti mahu tergelak besar apabila teringatkan wajah berkerut Faiz semalam apabila dia mengajak Faiz untuk bersama-sama mendengar ceramah yang bakal diadakan di kafe Kampung E malam ini.
" Aku nekad nak ajak Faiz dengar ceramah tu malam ni walau apapun yang terjadi" , berkobar-kobar Hilmi bermonolog. Dia yakin ceramah ni akan membawa perubahan dalam diri Faiz. Dia pun tidak tahu apakah yang bakal berlaku, namun dia yakin akan ketentuan Illahi.
MALAM CERAMAH PERDANA BERSAMAMU PALESTIN
Malam ini menjadi malam paling bersejarah buat Faiz. Buat pertama kali dia mengikuti ceramah seperti ini. Tidak pernah terlintas di hati mahupun fikiran dia bahawa dia akan mengikuti ceramah ini. Bukan ingin menidakkan keberkesanan ceramah tersebut namun dia beranggapan banyak lagi yang rakyat Malaysia perlu lakukan daripada menganjurkan ceramah tanpa mempunyai matlamat dan alternatif yang sepatutnya.
" Serangan ke atas kapal Mavi Marmara langsung tak menjejaskan semangat perjuangan kami untuk bangkit memperjuangkan Palestin. Kami bukanlah wira yang ingin disanjung-sanjung, tapi kami inginkan keadilan bagi pihak Palestin. Kami tahu tujuan sebenar Zionis. Kami menyeru anda semua untuk bersama-sama berjuang untuk Palestin dengan menyertai pasukan kami. Kami dahagakan semangat darah muda anak-anak semua!!Kita bukan mahu berperang,kita mahu membantu."
Kata-kata yang dilaungkan oleh Tn. Hj. Jamuliddin bin Hj. Elias sebentar tadi benar-benar membangkitkan semangat Faiz. Seperti ada rasukan luar biasa yang menghuni diri Faiz. Ingin sahaja dia menyahut seruan tadi dan maju kehadapan. Dia sedar akan tugas sebenar dia sebagai manusia yang berperikemanusiaan.
"Hilmi, aku nekad. Aku nak join Yayasan Amal Malaysia. Aku nak bersama-sama dengan LifeLine 4 Gaza. Aku nak jadi ahli aktif mereka. Bukan sekadar memerhati tapi turut turun padang untuk menyelamatkan bumi suci Palestin,"kata Faiz berkobar-kobar.
"Alhamdulillah, aku gembira sangat lihat kawan aku ingin membantu saudara-saudara kita di Palestin. Tapi satu je pesanan buat sahabat yang aku kasihi ni. Aku harap kau tak abaikan pelajaran kau. Belajar juga 'part of jihad'. Kau tahu kan??"
"Subhanallah...Syukur pada Allah, aku dapat sahabat yang sangat memahami dan suka menasihati aku. Jazakallah sahabat. InsyaALLAH, usaha aku akan seiring, Hilmi selagi aku punya sahabat macam kau."
Kedua-dua sahabat saling tersenyum kerana terlalu bahagia dengan persahabatan ini. Hanya Allah yang dapat memisahkan tali silaturrahim yang kukuh antara dua sahabat ini.
Tanggal 12 September 2012, menjadi tarikh penentu buat Faiz.
"Akhirnya, hari penentu buat diriku. Hari dimana dunia akan kembali membuka mata setelah dua tahun peristiwa Mavi Marmara berlalu,"getus hati kecil Faiz.
"Assalamualaikum Faiz,''
"Waalaikumussalam, Hilmi! Kau datang?"
"Demi sahabat yang dikasihi, aku pasti datang,"ucap Hilmi ikhlas.
"Jazakallah, walaupun kau sibuk dengan kerja kau, kau tetap luangkan masa menghantar aku."Ucap Faiz sebak.
"Sahabat aku ingin berjihad. Aku tak nak terlepas menjadi saksi kepergian kau, Faiz."
Hakikatnya, seluruh rakyat Malaysia ingin menjadi saksi kepergian mereka. Pada kali ini, Malaysia menjadi negara yang menghantar sukarelawan yang paling ramai dan sumbangan yang paling banyak. Bukan ingin bermegah, namun rakyat Malaysia sudah mula mempunyai kesedaran mengenai isu Palestin yang tak kunjung padam ini. Bukan sekadar umat Islam yang menyumbang, malahan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin turut menyumbang. Faiz sedar misi ini bukanlah misi untuk berperang tetapi misi untuk menghantar bantuan buat rakyat Palestin yang tidak mendapat bantuan. Namun dia juga sedar akan risiko yang bakal ditanggung kerana kekejaman pihak Zionis memang tak dapat dinafikan lagi. Kata-kata akhir Faiz buat seluruh ahli keluarga dan sahabatnya sebelum kepergiannya ke Palestin sangat menyentuh perasaan semua.
"Kematian ialah satu kepastian. Faiz pilih jihad dengan jalan ini. Jika syahid ialah ketentuan Allah buat diri Faiz, langsaikanlah hutang piutang Faiz dan doakanlah Faiz,''.Faiz dengan tenang dan semangat menuturkan kata-kata itu. Bukan niat Faiz untuk membuat orang yang rapat dengannya sedih namun itulah hakikat yang mereka perlu hadapi jika ditakdirkan Faiz syahid di  bumi suci Palestin.
ALLAHUAKBAR!!!ALHAMDULILLAH!!!
Laungan itu menggambarkan betapa gembiranya semua sukarelawan setelah berjaya menjejakkan kaki ke bumi Palestin. Tersentuh hati Faiz saat melihat ramai dalam kalangan sukarelawan Turki sujud lalu mencium tanah berkat Palestin ini. Faiz dan sukarelawan lain turut melakukan perkara yang sama walaupun gerak geri 200 orang sukarelawan sentiasa diperhatikan oleh tentera Zionis, namun tiada rasa gentar dalam diri mereka.
"Mak, Ayah, Adik, Hilmi, Alhamdulillah! Kami Berjaya sampai di sini tanpa halangan yang berat. Jazakallah kerana doakan Faiz."Getus hati kecil Faiz.
Selama dua hari mereka berada di sana, segalanya berjalan lancer. Bantuan berjaya disampaikan. Seluruh dunia memanjatkan kesyukuran. Dalam kelekaan para sukarelawan menghulurkan bantuan, salah seorang tentera Zionis menarik salah seorang kanak-kanak Palestin dan mengasari kanak-kanak itu. Faiz yang menjadi saksi pertama kejadian tersebut, tidak dapat menahan rasa marah.
"Jangan apa-apakan kanak-kanak itu!! Kamu tak berhak terhadap rakyat Palestin dan tanahnya!".jerit Faiz.
"Kamu senyap! Lakukan kerja kamu ataupun kamu akan dihalau dari sini!" balas tentera Zionis.
"Halau kami, kamu yang akan dikecam oleh dunia dan Allah pasti turunkan bala buat kamu semua satu hari nanti!"
Pandangan seluruh kem Misi Kemanusiaan kini semua tertumpu kearah Faiz. Lalu, salah seorang sukarelawan Greece mencelah manakala sukarelawan-sukarelawan lain mulai mara kehadapan.

"Zionis celaka!Israel celaka! Jangan ganggu kerja kami! Lepaskan anak itu!"
Kata-kata beliau berjaya menakutkan tentera Zionis namun mereka mempunyai agenda sendiri. Dalam kesibukan para sukarelawan, tentera Zionis datang bersama-sama dengan kereta kebal. Mereka mengarahkan kesemua sukarelawan agar meninggalkan kem itu kerana mereka syaki bahawa di situ terdapat pengganas dari puak Hamas.
Faiz tidak berganjak malahan Faiz bersama-sama sukarelawan yang lain bersatu dan berganding bahu bagi menghalang niat jahat Zionis itu.
Dalam hati mereka, "Ya ALLAH, jika syahid takdir bagi kami,itulah sebaik-baik ketentuan-Mu."Keteguhan mereka tetap di situ walau apapun terjadi.
Faiz berbisik, "Ya ALLAH, ampuni aku. Mak,Ayah, doakan anakmu. Hilmi, jazakallah sahabat! Aku yakin lubuk jihad akan bebas dengan syahidnya kami!"
Allahuakhabar!

Tukang penggunting rambut ..


seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya
yang agak panjang dan tidak terurus.
Seperti biasa,
si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra
dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian.
Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.
Pengorbanan seorang ibu ..


"Nurse, boleh saya tengok bayi saya?" ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat. Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, ciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan. Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.

Masa terus berlalu... Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia ejek rakan-rakan. "Mereka kata saya cacat," katanya kepada si ibu. Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. "Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma," kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu... "Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan," kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang. Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik. "Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya," kata si anak berkali-kali."Tak mungkin," balas si ayah. "Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba." "Bila?" tanya si anak. "Akan tiba masanya anakku," balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk.

Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya. Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku. Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada. "Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya," si ayah berbisik ke telinga anaknya. "Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya... tanyalah pada sesiapa pun kenalannya."

Ps : Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati. Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui. Selagi ibu kita ada didunia ini, ciumlah dia, cium tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya ada, curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya, 'love u mom'.